Sunday, October 4, 2009

Nostalgia melankolik

Telah kita padamkan ceritera lapuk

Antara hujan yang makin sidang di tengah hari

Lalu secalit pelangi singgah ke dasar anak mata

Maka mengapa mahu kau buang jauh

Dari pandangan kecil anak matamu

Lalu kau membiar mendung juga yang mengisi

lapang hati

Telah kita tinggalkan kenangan kusam

Warnanya kita luntur dengan air dari Teluk benggala

Lalu terbentang lukisan baru atas pertiwi

Maka mengapa mahu kau lakarkan kisah lama

Dengan tona warna yang masih tinggal berbaki

Dari laci keringat

Sayang,

Simpanlah baki cerita dari dunia semalam

Atas buku sejarah menyalut iktibar

Andai tanganmu tak mampu menyeka air mata

Kali ini biar aku yang membalut lukanya

Menghimpun seluruh jiwa

Untuk kau bangun semula.

~permata biru, kamar 303~

Sunday, May 24, 2009

pagi ini...

Satu per tiga
Merangkak antara pintu usia
Untuk kepulangan itu
Masih belum terlambat bukan
Menyusun anak tangga
bertatih jalan ke syurga

Rindu yang terkandas
Akur atau layang pada gelora jiwa
Takkan ada habis
Terlalu asyik membilang titik gerimis
Hiba pada hilang yang sedikit
Bukan harga cinta yang melangit

Ya Rabbi
Moga dirinya hambamu pagi ini
Bukan hanya mengundang gerimis lama
Bukan lagi membilang derita atma
Biar tapak sedar itu sentiasa terpasak
Dalam langkah yang masih panjang
Meredah jalan bercabang.

Sunday, April 5, 2009

Biarkan seketika.

Biarkan seketika
aku menjadi
rama liar hutan dunia
sebelum pulang
ke taman indah kurnia

biarkan seketika
aku meredah
rimba buas tak bertepi
sebelum pulang
ke laman rinduan sepi

Biarkan seketika
aku menjadi
bukan diriku sendiri.

Wednesday, February 18, 2009

Suntuk!


Ku renung wajah-wajah
Buat kesekian kalinya
Terlalu sayu
Dalam hatiku
berlagu sendu

Ku renung wajah-wajah
Buat kesekian kalinya
Tumpah jua
Setitis air mata
Dari sukma yang hiba

Saat dimana Ar-rahman
memberi secalit peringatan
Waktu yang panjang pun
Menjadi suntuk
Dan ada rindu mula mengetuk
Sekeping nurani

Rasaku
Ada mimpi yang takkan kesampaian
Ada epilog yang tinggal kenangan
Siapa kita untuk menidakkan
Andai itu yang ditakdirkan.

~permata biru, tilam hijau, Kal Ho Na Ho~

Sunday, February 15, 2009

SePeRtiNYa KaLi iNi…

SePeRtiNYa KaLi iNi…

Sepertinya kali ini
Akan jadi percutian yang panjang
Atau tiada langsung

Sepertinya kali ini
Akan jadi perpisahan sementara
Atau penutup semua ceritera dunia

Sepertinya kali ini
Akan jadi rindu sesaat
Atau terpendam untuk seluruh hayat

Sepertinya kali ini
Akan menjadi puisi terulung
Atau kata tak sempat disambung
Bila tanah mula menyelubung.

~permata biru, fudkot~

Tuesday, February 3, 2009

Tunggu

Tunggu
Bukan masanya
Kerana kupunya beban sepuluh
Sarat gendong mahu ditempuh
Jaraknya sangat dekat
Terlalu

Tunggu
Bukan tempatnya
Ruang yang ada pun hampir penuh
Tak mampu diisi tak boleh ku kosong
Waktu begitu sedikit
Teramat

Sudah kubilang tunggu
Maka nantikan sahaja
Waktu itu…
~permata biru, 3 hari sebelum uni's~

Saturday, January 24, 2009

cerita malam pada siang

kata malam kepada siang

kau takkan pernah mengerti

indahnya sunyi dalam diriku

senyap dingin dan suram

kata malam kepada siang

kau takkan pernah mengerti

tentang rona cahaya rembulan

yang dipinjamkan dari pantulan

sinarnya samar-samar kelam

kata malam kepada siang

Kau takkan pernah mengerti

tentang hati-hati yang kerinduan

sewaktu menitis embun jantan

mencari erti kedamaian.

~permata biru, kembali tilam hijau~

Thursday, January 22, 2009

waktu sukar

Aku semacam ingin menulis

tentang kepercayaan kecintaan

tapi hilang di telan waktu

Aku semacam mahu mengukir

tentang norma hidup yang indah

tapi lenyap ditiup bayu

Berikan aku sedikit masa

untuk mencari

kemanusiaan dalam diri

dalam waktu yang sukar

begini.

Sunday, January 4, 2009

suara untuk saudara

Sedih kecewa marah
di hati kita
saat mereka memperlakukan
seribu macam kezaliman
ke atas tiap dari kita

Waktu derita yang begitu lama
yang mahu kita padamkan
yang kita dengar kita benci
tapi laku kita bagai terkunci

Hari ini kita punya tangan
walaupun tak bisa membasuh merah darah saudara
di medan sana
jangan kita lupa
kita masih mampu menadahnya
untuk jutaan doa
kerna doa itu antara hebat senjata

Dalam jiwa kita
ada juang belum selesai
dalam hidup kita
ada hutang yang belum langsai.

~permata biru~
sama-sama kita berdoa dan berjuang!

Friday, January 2, 2009

Monolog pagi ini...

Merenung alam
Dalam percaturan terkalam
Cahaya pagi dan suara burung bernyanyi

Sejenak
melihat diri
Melihat dalam-dalam
cermin peribadi
Antara cahaya pagi dan burung bernyanyi itu
Bukan sengaja
Dia meletak aku di daerah ini

Pernah kudengar
Dalam perhitungan hebat juga
Hidup jangan berpandukan falsafah manusia
Tapi manusia itu pelupa
Jadi mendengarnya bukan beerti aku mengikutnya
Kerna baik itu adalah untaian nasihat
Dari yang saling mengingat
Bukan mahu jadi sekujur tubuh
yang ada telinga tapi pekak
Ada hati tapi bongkak

Pagi ini
Dalam cahaya menelusuri
Nilaikan kembali
Siapa sebenar diri.

~permata biru~ kaca jendela

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"

(Al-A'sr:1-3)