Monday, December 29, 2008

Senafas dalam Muharram

Senafas
Dalam menghirup udara Muharram
Mengorak langkah baru
Di perjalanan berliku

Puisi ini mungkin tinggal puisi
Yang terjadi telah pun terjadi
12 purnama silih berganti
memorinya masih berbaki
Hari esok masih perlu diisi

Bukan lagi dengan cerita-cerita basi
Bukan lagi mengulang tragedi
iktibarkan pada yang bernama sendiri
Kerna kita perlu sering memperbaiki
Perlu sering muhasabah diri

Syukurlah
Pada senafas ini
Pada kesempatan yang diberi
kerna nanti
belum tahu bila nadi terhenti.

Saturday, December 27, 2008

Saat genting kita

Kesusahan
kegentingan
dan kepayahan
adalah dalam masa
yang sedang kita titikan

Yang tersimpul itu
belum kuat aku leraikan
Yang kusut itu
belum tegar aku uraikan
buntu dan buntu
Ketidaktahuan

bisu antara kita
benar merungsingkan
Sepi
Yang kedengaran cuma
deru angin bertiupan
mahunya damai seperti dulu
Waktu tiada terluka itu

Ya Allah
ampunkan dosa-dosa kami
Ya Allah
Lembutkan hati-hati kami
Ya Allah
sembuhkan luka-luka kami
dan pautkan jiwa-jiwa kami
kembali.

Friday, December 19, 2008

...

Terus-terusan menyala
kutiup baranya ada
sikit-sikit sakit
lama makan diri

kayu reput rapuh urat
tak mahu menjadikan itu aku
Rentung dek api yang menjilat
hangus sedang waktu menepu

satu suara berbunyi
padamkan!padamkan!
dengan hujan tangisan
kembali pada Ar-Rahman
Kerna Dia lebih mengerti
Lebih Mengetahui.

Sunday, December 14, 2008

kegembiraan...

Bukan mesti diurung dengan senyuman
Walau indah meninggi
sampai mahu terbang keawan
Atau melayang rendah
bersantai di atas dahan
Kerna itu adalah sebuah kurniaan

Setiap dari kita
yang mengimpikannya sentiasa
mahu menikmati
Saat ingin pejamkan mata
Tak ada gusar yang menimpa
Sebuah bahagia

Tanamkan syukur
Atas kegembiraan ini
Atas rasa beroleh sayap baru
Kerna tiap-tiap yang berharga
Adalah untuk dihayati

Tuesday, December 9, 2008

memori petang selasa

Di meja itu kita bicarakan
tentang itu ini
saat yang mahu kita lewati
suatu ketika nanti

Sedang masa telah pun menjurang
kita dengan kehidupan sendiri
perjumpaan ini
mengumpul sedikit yang kian tertinggal
memenuh sebuah janji

Dan simpang jalan
tak munkin lagi sama
untuk kita melangkah
menghadapi
yang bakal terpisah

ini adalah memori
tentang kita
suara bertiga
dalam petang selasa.

SaKiT RuMaH

Suka sangat menyerang
bila aku seorang
lewat ini
makin kerap ia datang

Rasanya macam dah kritikal
sampai boleh effect kat fizikal
tapi parah lagi emosi dan mental

Aku dah sasau semacam
tak tahu
mahu duduk di rumah,di library
atau tutup katup mata atas tilam

tak mahu fikir lagi!!

~permata biru~
Jauh dari rumah

Monday, December 8, 2008

Demi pengorbanan

Demi keyakinan
bilah pisau pun
sanggup memakan
leher anakmu

Demi kasih Tuhan
Segunung sayang pun
bisa diruntuhkan
dek akur pada tuntutan

Demi pengorbanan
Nyawa berharga pun
menjadi taruhan
ujian kehidupan...

~permata biru~
malam 10 Zulhijjah

Sunday, December 7, 2008

bola

(dapat idea masa muiz tgh jaringkan gol. masa tu ada feel macam nak menang jer!!huhu)

lima petang
ramai orang
turun padang

yang ditepi riang bersorak
yang bermain penuh lagak
Tapi semua mata tertumpu
kesini kesitu
bola berputar laju

bila senja mula datang
dan malam pun menukar siang
si kalah pulang kehampaan
juara dan penyokong senyum kegembiraan

Dan petang sabtu pun ditelan waktu
Hari esok masih menunggu
perlawanan baru.

~padang end point~

Saturday, December 6, 2008

RINDU

menusuk-nusuk
mahu tembus bagai
sebuah hati yang ditikam
bilah rindu tajam

Darah mengalir pun
tak bisa menjadi tinta
lukisan derita
sarat sekian lama

moga ada dendam terhapus
merawat tikaman terhunus
dari waktu yang terhembus pergi.


~kerinduan~

Monday, December 1, 2008

Kenangan...

Campakkan saja sisanya ke hujung dunia
Bisik suatu suara
biar hilang ditelan ombak
dimamah bumi
atau ditiup angin
menjadi debu halus tak terlihat lagi

Ah! cerita takkan berakhir
walaupun terbuang satu nyawa
mahupun beribu
walau terbalas segala dendam di dada
atau tersingkap apa yang terbuku
sampai bila jasad terkaku
masih ada sesuatu yang menunggu
malah lebih hebat
dari yang telah lalu

Jangan pernah padamkan apa yang tercatat
kerna hidup sempurna bisa menjadi cacat
tanpanya...